Saturday 30 March 2013

Teknik Pemasaran Online VS Offline

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Pemasaran adalah suatu perkara yang amat penting dalam apa juga perniagaan yang dijalankan, sama ada pemasaran secara online ataupun offline. Pemasaran amat penting untuk kita memperkenalkan jenama, produk, perniagaan atau perkhidmatan yang kita tawarkan.

Ada banyak cara atau teknik pemasaran yang boleh kita buat, sama ada secara online ataupun secara offline/konvensional.Mari kita lihat satu persatu cara pemasaran secara online dan offline.

Pemasaran online
Kita semua sedia maklum, melalui media internet, kita boleh memasarkan produk, perniagaan atau perkhidmatan kita tanpa mengeluarkan sebarang modal atau mungkin hanya mengeluarkan modal yang sedikit untuk menghadiri kursus/kelas/bengkel bagi mempelajari teknik pemasaran online atau membeli perisian bagi membantu meningkatkan jualan. Ada beberapa cara yang boleh kita gunakan bagi pemasaran online secara percuma:

Cara 1: Pemasaran mengunakan forum
Pemasaran menggunakan forum bermaksud kita menyertai sebarang forum mengikut minat kita dan beriklan di forum tersebut. Caranya, kita gunakan tandatangan kita dengan meletakkan banner atau apa-apa sahaja iklan di ruang tandatangan dan aktifkan diri untuk berforum. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan lebih ramai yang melihat iklan kita.

Cara 2: Pemasaran melalui blog
Pemasaran tanpa modal melalui medium blog sebenarnya tidaklah terlalu sukar dan tidaklah terlalu mudah. Kita boleh menggunakan platform blog percuma seperti blogger.com atau wordpress.com untuk melakukan pemasaran iklan kita. Bagaimana caranya? Mudah sahaja, cuma letakkan atau promosikan iklan di blog kita. Tetapi, pemasaran melalui blog memerlukan semangat yang konsisten untuk mempromosi dan menarik trafik ke blog kita.

Cara 3: Pemasaran melalui media sosial
Media sosial yang mempunyai pengguna dan trafik yang tinggi bagi pasaran tempatan ialah Facebook dan Twitter. Seperti yang kita sedia maklum, kita tidak dikenakan sebarang bayaran untuk membuka akaun media sosial ini yang mana dapat membantu kita meluaskan pasaran kita.

Untuk pemasaran secara offline atau konvensional, saya akan sambung di dalam entri yang seterusnya. Nantikan entri tersebut ye!

Friday 29 March 2013

5S ditempat kerja [29.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Bagi yang bekerja dalam sektor kerajaan, istilah 5S bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Malah ada  sesetengah syarikat swasta juga mengamalkan konsep 5S ini. Hari ini saya dan rakan sepejabat sama-sama bergotong-royong untuk melaksanakan 5S ini kerana audit bagi 5S akan diadakan di pejabat kami pada 2 April 2013 ini.

Apa itu 5S?
5S merupakan rujukan kepada satu konsep pengurusan di dalam bahasa Jepun yang membawa maksud:

1. Seiri / Sisih
Menyisih dan membuang barang yang tidak perlu di tempat kerja

2. Seiton / Susun
Menyusun dan menyimpan barang dengan kemas, mudah diambil dan disimpan

3. Seiso / Sapu
Mencuci tempat kerja dengan rapi supaya tiada habuk di lantai, mesin dan peralatan

4. Seiketsu / Seragam
Seragamkan atau memelihara kebersihan dan penyusunan sepanjang masa serta mudah mengamalkan Seiri-Seiton-Seiso

5. Shitsuke / Sentiasa Amal
Berdisiplin dan melatih pekerja mematuhi peraturan dan bertabiat baik di tempat kerja

Sebenarnya konsep 5S ini boleh diamalkan dan diguna pakai dimana-mana sahaja: rumah, pejabat, kedai, klinik, farmasi, dan sebagainya. Tak kira apa jua jenis perniagaan yang kita jalankan, konsep 5S ini tetap sesuai untuk kita amalkan. Dengan adanya amalan 5S ini, perniagaan kita akan lebih terurus, sekaligus menarik pelanggan untuk berada di dalam premis perniagaan kita dengan selesa kerana keadaannya yang bersih, kemas dan teratur. Lebih-lebih lagi kalau kita menjalankan perniagaan kesihatan dan kecantikan. Tempat yang cantik, kemas, bersih, serta selesa pastinya mengundang rezeki yang luas kepada perniagaan kita. Sihat dan cantik mestilah sinonim dengan bersih dan kemas, kan? Kalau comot, tak bersih dan bersepah-sepah, macam mana kita nak sihat dan cantik!

5S di meja kerja saya masih belum selesai hari ini. Nampaknya kerja-kerja 5S saya perlu disambung lagi pada hari Isnin sebelum pihak audit datang menilai.

Thursday 28 March 2013

Pengaturcaraan komputer [28.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Sudah beberapa bulan saya tidak membuat pengaturcaraan komputer, menyiapkan sistem yang telah diamanahkan oleh ketua saya pada awal perkhidmatan saya dahulu. Sistem tersebut sudahpun diguna pakai sejak tahun lepas, tetapi masih ada beberapa modul yang masih perlu dibangunkan serta membuat beberapa penambahbaikan ke atas sistem.

Tidak dinafikan, membuat pengaturcaraan adalah minat saya sejak di universiti lagi. Saya ingat lagi semasa di UNIMAS, saya sanggup tidak tidur semalaman, berjaga hingga ke pagi semata-mata kerana teruja untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Tetapi sekarang saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan masa bagi membangunkan sistem itu kerana terdapat tugas-tugas lain yang lebih utama. Ketua saya juga pernah berpesan, sistem itu hanya perlu dibuat jika saya ada masa yang lapang, dan kerja-kerja utama saya telah siap dibuat.

Hari ini, keterujaan saya kembali memuncak apabila rakan sejawatan meminta bantuan saya untuk mengajarnya cara membuat pengaturcaraan komputer bagi menyiapkan tugasan akhir tahun adik beliau. Pada mulanya saya agak terkial-kial juga untuk memahamkan teknik pengaturcaraan yang dibuat oleh adik beliau. Maklum sajalah, setiap pengaturcara ada teknik mereka tersendiri untuk membuat pengaturcaraan. Tetapi dengan sedikit modifikasi terhadap koding yang telah dibuat, saya berjaya juga membetulkan beberapa ralat yang dijumpai.

Semoga adik teman saya ini berjaya mendapat markah yang baik bagi projek tahun akhir beliau. Saya hanya membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi, tetapi hasil utama sistem itu masih lagi hasil usaha beliau.

Alhamdulillah, syukur. Hari ini saya pulang dengan hati yang ceria walaupun sedikit letih kerana berpuasa, sebab saya dah buat apa yang saya sangat minati.

Wednesday 27 March 2013

Perkhidmatan Pelanggan [27.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Hari ini saya bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan bagi membantu pegawai di kaunter Call Centre menjawab panggilan-panggilan yang berkaitan dengan BLESS. Selama ini memang mereka yang menjawab semua panggilan berkaitan BLESS, tetapi oleh sebab aktiviti promosi yang dibuat oleh pihak Jabatan Perumahan Negara baru-baru ini, panggilan bantuan ke Call Centre kami menjadi luar biasa banyaknya menyebabkan pegawai di kaunter Call Centre tidak menang tangan untuk melayan semua panggilan yang masuk.
Sebelum berkhidmat di tempat sekarang, saya pernah ada pengalaman berkhidmat sebagai wakil khidmat pelanggan bagi salah sebuah syarikat telekomunikasi di Malaysia. Jadi, tugas ini bukanlah sesuatu yang sukar atau membosankan untuk saya. Malah ada pemanggil yang memuji sikap dan bantuan yang saya berikan kepada mereka. Alhamdulillah...


Bagi saya, perkhidmatan pelanggan yang baik adalah amat penting bagi semua jenis perniagaan. Tidak kira apa juga jenis perniagaan yang kita jalankan, kita mesti memberikan khidmat pelanggan yang terbaik kepada pelanggan kita, terutamanya servis selepas jualan. Pelanggan pastinya akan gembira berurus niaga dengan kita jika kita dapat memberikan khidmat pelanggan yang baik kepada pelanggan kita. Pastinya pelanggan kita akan kembali berurus niaga dengan kita pada masa hadapan, dan besar kemungkinan juga mereka akan mengesyorkan rakan-rakan dan keluarga mereka untuk berurus niaga dengan kita. Itulah yang kita mahu, kan? Bisnes yang semakin berkembang dan maju, serta pelanggan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pelanggan sedia ada pula kekal setia dengan kita, tidak beralih arah ke pesaing yang lain.

Sebagai seorang peniaga, selain mempunyai kemahiran yang khusus dalam bidang kita, kita juga perlu ada kemahiran berinteraksi yang baik dengan para pelanggan. Pekerja kita juga perlu ada kemahiran yang sama. Kalau cuma kita sahaja sebagai pemilik perniagaan yang menjaga hubungan baik dengan pelanggan tetapi pekerja kita pula berkasar atau bersikap kurang mesra dengan pelanggan, pasti pelanggan akan lari! Oleh itu, kita sebagai majikan perlu mendidik dan melatih pekerja kita untuk melayan semua pelanggan dengan baik, tak kira bangsa, usia, warna kulit, keturunan, mahupun pangkat. Kita juga mesti memantau mereka dari belakang. Manalah tahu kan, di hadapan kita mereka melayan pelanggan dengan baik dan mesra, bak pijak semut pun tak mati, tapi apabila di belakang kita, aduhai... macam singa nak terkam mangsa! 

Semoga tips ini dapat membantu para pembaca sekalian dalam memastikan khidmat pelanggan kita sentiasa tip-top! :)



Tuesday 26 March 2013

Sesi Latihan BLESS [26.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Hari ini saya ke Jabatan Perumahan Negara lagi sekali untuk sesi latihan pengguna. Saya hanya bertindak sebagai pegawai penyelia kerana taklimat dan latihan yang diberikan kepada pegawai-pegawai Jabatan Perumahan Negara dikendalikan oleh pihak vendor.

Sesi latihan berjalan lancar, dan semua peserta yang hadir faham akan cara penggunaan dan proses kerja sistem BLESS. Alhamdulillah...


Mesti semua pembaca tertanya-tanya, BLESS tu apa ya? Dah dua hari saya bercerita tentang BLESS...

BLESS adalah sebuah portal yang menawarkan maklumat dan perkhidmatan permohonan lesen/permit/kelulusan yang berkaitan dengan perniagaan melalui satu tetingkap. Setakat ini terdapat hampir 200 lesen perniagaan yang boleh dipohon melalui BLESS oleh pemohon.

Melalui sistem BLESS ini, pemohon yang ingin mendapatkan pelbagai jenis lesen perniagaan daripada pelbagai agensi kerajaan boleh memohon melalui BLESS secara serentak tanpa perlu ke kaunter atau ke sistem agensi satu persatu. Pemohon juga boleh mengetahui status permohonan mereka secara telus kerana BLESS menyediakan kaedah pemantauan permohonan yang terperinci.

Untuk maklumat lanjut, para pembaca sekalian boleh melayari portal BLESS di www.bless.gov.my

Keterujaan Saya Dalam Bidang Kesihatan Dan Kecantikan

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid
Sumber gambar: Carian Google


Setiap wanita pastinya ingin kelihatan cantik dipandang, terutamanya oleh sang suami tercinta. Kecantikan bukan sahaja dilihat dari sudut raut wajah yang bebas cela, yang putih berseri, tetapi juga dari sudut keadaan tubuh badan yang langsing atau sekurang-kurangnya berada di dalam julat indeks BMI yang normal; tidak terlalu kurus atau obes. Namun, cantik dan sihat semestinya kombinasi yang paling ideal untuk setiap orang terutama wanita. 

Saya mula mementingkan kesihatan yang lebih baik sewaktu hamil anak kedua. Pada masa itu, saya sering merasa letih dan lesu, muka nampak pucat, sering sakit belakang, dan sebagainya. Pada mulanya saya beranggapan itu adalah kerana faktor saya hamil pada usia 30-an. Tetapi setelah ditegur beberapa kali oleh ketua seksyen yang sering melihat saya tertidur tidak kira masa, saya merasakan saya perlu mencari jalan penyelesaian untuk masalah saya ketika itu.


Pelbagai cara dan petua tradisi yang saya amalkan untuk menghilangkan kelesuan sewaktu hamil, tetapi semuanya tidak berjaya untuk menyelesaikan masalah saya. Sehinggalah pada suatu hari saya bertemu dengan seorang sahabat yang menjadi pengedar Shaklee. Saya tergerak hati untuk mencuba set percubaan untuk ibu hamil yang dicadangkan oleh beliau. Alhamdulillah, dalam minggu pertama pengambilan vitamin-vitamin tersebut saya telah merasai perubahan yang amat ketara pada diri saya. Saya tidak lagi letih dan lesu di pejabat walaupun sering tidur lewat atau kurang tidur (pada usia kehamilan 8 bulan memang amat sukar bagi seorang ibu hamil untuk mendapat tidur yang lena setiap malam kerana keadaan bayi di dalam perut yang semakin membesar).

Dari situlah saya begitu teruja untuk memiliki kesihatan yang lebih baik, kerana dari tubuh yang sihat, pastinya wajah kita lebih bercahaya dan seterusnya menyerlahkan kecantikan kita yang semulajadi. Disamping mengambil vitamin Shaklee sebagai makanan tambahan harian, saya juga sering membaca dan membuat kajian terhadap produk-produk Shaklee. Ini adalah bagi memastikan makanan tambahan yang saya makan adalah yang terbaik untuk saya dan anak di dalam kandungan.

Doktor yang memeriksa kehamilan saya juga memuji perubahan fizikal saya yang kelihatan lebih sihat, aktif dan bertenaga, tidak seperti sebelumnya yang sering lesu. Malah doktor tersebut juga menggalakkan saya meneruskan pengambilan vitamin-vitamin Shaklee sebagai vitamin kehamilan saya.

Selepas 2 minggu melahirkan anak kedua secara pembedahan, saya sudah mula cergas untuk menguruskan bayi dan anak sulung dengan dibantu oleh mama. Dibandingkan dengan keadaan semasa berpantang anak pertama dahulu, saya sering mengambil kesempatan untuk tidur bersama anak pada waktu siang. Tetapi semasa berpantang anak kedua ini, boleh dibilang hari-hari yang saya tidur siang bersama anak, walaupun saya kerap bangun pada waktu malam untuk menyusukannya.

Kesetiaan saya terhadap jenama Shaklee diteruskan disepanjang saya menyusukan anak kedua, seterusnya bersambung semasa kehamilan anak ketiga, dan sehingga sekarang yang mana anak ketiga saya kini telahpun berusia lapan bulan setengah. Saya juga telah mula berkongsi kebaikan produk Shaklee bersama keluarga dan rakan-rakan, dan gembira apabila melihat mereka juga dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan ceria.

Benarlah kata pepatah, tubuh yang sihat akan menyerlahkan keserian dan kecantikan semulajadi di wajah kita.  Oleh itu, saya sentiasa memastikan keluarga saya; iaitu suami, anak-anak dan juga mama kesayangan saya untuk kekal sihat bertenaga dan ceria melalui pemakanan yang seimbang, mengamalkan gaya hidup yang sihat, serta mengambil makanan tambahan yang semulajadi bagi menampung kekurangan vitamin di dalam pemakanan seharian.

Monday 25 March 2013

Promosi BLESS di JPN [25.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Pagi ini saya bergegas daripada pejabat ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas arahan ketua, kerana saya perlu mewakili Bahagian Teknologi Maklumat untuk turut serta dalam aktiviti promosi BLESS bersama dengan pihak Jabatan Perumahan Negara. Walaupun saya menjadi urusetia mesyuarat yang turut diadakan pada pagi ini, tugas sebagai urusetia itu telahpun diambil alih oleh rakan sejawatan yang lain.

Setibanya di sana, taklimat promosi telahpun bermula, dan saya hanya menunggu di booth untuk menjawab pelbagai soalan daripada pemaju-pemaju perumahan berkaitan dengan sistem BLESS.

Booth BLESS 1
Setelah taklimat berakhir, para pemaju yang hadir mula mengerumuni booth kami untuk mendaftar dan bertanyakan pelbagai soalan. Walaupun letih melayani pertanyaan yang bertalu-talu daripada para pemaju tersebut dan ada menghadapi sedikit masalah teknikal semasa pendaftaran, akhirnya sesi pertama promosi tersebut berlangsung dengan lancar.

Booth BLESS 2
Sesi kedua pula bermula pada pukul 2 petang. Kami yang bertugas di booth bergilir-gilir untuk berhenti rehat makan dan solat kerana masih ada para tetamu yang singgah di booth untuk mendaftar dan bertanya soalan pada waktu rehat tengahari.

Alhamdulillah sesi kedua juga berjalan dengan lancar dan semua pemaju perumahan yang hadir nampak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan. Mudah-mudahan sistem BLESS ini dapat berfungsi dengan baik dan lancar bagi membantu para pemaju perumahan untuk mendapatkan lesen dan permit mereka di masa hadapan.

Saturday 23 March 2013

Ulasan Kelas Asas Blog & Penulisan

Teks: Nurulhuda Ismail @Wahid

Penemuan facebook peribadi milik Puan Masayu merupakan titik permulaan saya mengikuti Kelas Asas Blog & Penulisan yang dianjurkan olehnya. Dek kerana saya amat mengimpikan menjadi seorang surirumah tangga sepenuh masa tetapi masih mempunyai sumber pendapatan sendiri bagi membantu suami tercinta menguruskan kewangan keluarga, saya tergerak hati untuk mengikuti kelas ini. Terus-terang, saya tidak ada kemahiran menulis. Malah semasa di bangku sekolah, subjek karangan adalah subjek yang paling lemah buat diri saya. Oleh itu, apabila menemui kelas seperti ini, saya tidak akan melepaskan peluang untuk belajar. Seperti kata guru saya semasa di sekolah dahulu, bakat dan kemahiran seseorang boleh diasah. Tidak selamanya kita akan terus tidak pandai dalam sesuatu kalau kita tidak berusaha untuk mempelajarinya. 

Setelah beberapa siri perbincangan dibuat bersama Puan Masayu, saya akhirnya mendaftarkan diri untuk menjadi salah seorang pelajarnya. Ada 4 sebab utama mengapa saya tidak teragak-agak untuk mengikuti kelas ini:

1) Yuran yang dikenakan amat berpatutan (tidak terlalu mahal untuk dibayar);
2) Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara online sememangnya sangat praktikal dan memudahkan sesiapa sahaja, terutamanya bagi orang-orang yang berkerja seperti saya;
3) Kelonggaran diberikan kepada kami sekiranya kami mempunyai kekangan masa untuk menyiapkan tugasan harian yang diberikan pada masa yang ditetapkan;
4) 'Murid' yang diambil pada setiap sesi adalah dalam saiz kumpulan yang kecil supaya setiap daripada kami dapat dibimbing 'one-to-one' supaya tidak ada diantara kami yang tercicir atau ketinggalan.

Saya sememangnya tidak boleh memberikan komitmen yang tinggi dan berterusan jika kelas yang dibuat wajib dihadiri mengikut jadual yang telah ditetapkan. Faktor kerja dan masa bagi menguruskan anak-anak sendirian selepas waktu kerja amat membataskan saya daripada duduk di hadapan komputer setiap hari untuk mengikuti kelas. Jika kelas yang dibuat dijalankan hanya pada hujung minggu sahaja juga sukar untuk saya ikuti kerana pada masa itulah saya akan menghabiskan masa bersama-sama anak-anak dan suami, berehat, mengemas rumah, pulang ke kampung, malah kadang-kala terpaksa ke pejabat untuk menyiapkan kerja.

Alhamdulillah, saya tidak salah membuat pilihan untuk mengikuti kelas ini. Banyak tips dan ilmu penulisan yang saya pelajari melalui tugasan yang diberikan. Antara tips asas penulisan yang diajar kepada kami ialah:
1) Entri perlu ditulis setiap hari supaya idea lancar mengalir.
2) Konsisten menulis dan menyiapkan tugasan.
3) Banyakkan membaca dalam bidang genre kita supaya mudah memberi input baru dan kesegaran dalan penulisan kita.
4) Tulis dengan jiwa yang ikhlas supaya penulisan kita sampai ke hati pembaca.

Tugasan pertama, kami diberikan beberapa soalan analisis, dan daripada jawapan-jawapan kami itulah Puan Masayu akan memberikan tajuk blog yang bersesuaian mengikut minat dan kemahiran masing-masing. Kemudiannya kami akan diberikan panduan dan tunjuk ajar untuk menulis blog berdasarkan tajuk blog masing-masing. Dan disinilah keistimewaan kelas online ini, semua soalan dan jawapan daripada mentor dan mentee, serta nota dan tunjuk ajar daripada mentor, boleh diajukan dan diberikan pada bila-bila masa mengikut kelapangan kami semua. Entri juga boleh dibuat secara santai dan berperingkat, tiada tekanan langsung yang diberikan oleh mentor Puan Masayu di sepanjang kelas ini. Malah kami juga digalakkan untuk membantu rakan-rakan yang lain sekiranya menghadapi sebarang masalah berkaitan blog, walaupun tajuk dan genre blog kami berbeza di antara satu sama lain.

Bagi saya, semua ilmu, tips dan tunjuk ajar, serta dorongan yang Puan Masayu berikan di sepanjang kelas ini  melebihi daripada apa yang kami bayar. Banyak ilmu yang tidak ternilai yang dikongsikan beliau bersama kami. Tunjuk ajar tanpa jemu, serta tidak memaksa kami untuk menyiapkan semua tugasan pada masa yang tertentu, amat saya perlukan dan hargai. Malah apabila melihat rakan-rakan yang lain dapat menyiapkan entri mereka secara konsisten membuatkan saya juga begitu bersemangat untuk menyiapkan semua tugasan walaupun ada menghadapi sedikit masalah yang menyebabkan saya terhenti seketika daripada menulis sewaktu di minggu pertama kelas.

Saya amat mengesyorkan kepada semua para pembaca yang ingin mempelajari teknik asas blog dan penulisan supaya menyertai kelas ini, kerana kita bukan sahaja mendapat ilmu dan bimbingan di dalam bidang penulisan, malah kita juga akan menghasilkan sebuah ebook dan juga sebuah buku di pengakhiran kelas ini. Ini bermakna, dipenghujung kelas ini, kita bukan sahaja mendapat kemahiran menulis, malah dapat menghasilkan sebuah ebook tulisan sendiri yang pertama, serta memperolehi semula modal yang dilaburkan melalui penjualan ebook tersebut.

Mudah-mudahan, ilmu, jasa dan bakti Puan Masayu mendidik kami melalui Kelas Asas Blog & Penulisan ini dapat memberikan impak yang besar ke dalam hidup kami selepas ini. In shaa Allah, semoga perjalanan kami di sepanjang kelas ini dipermudahkan dan berjaya mencapai matlamatnya. Amin...

Senarai buku panduan untuk memulakan bisnes kesihatan dan kecantikan

Teks: Nurulhuda Ismail @Wahid
Sumber gambar: Carian Google

Berikut adalah antara buku-buku terbitan penulis tempatan dan juga antarabangsa yang boleh para pembaca sekalian jadikan sebagai panduan bagi memulakan bisnes kesihatan dan kecantikan:

Tajuk: 101 Idea Bisnes Home-Based
Penulis: Junaidah Hamdan
Penerbit: PTS Professional
ISBN: 9675226420, 9789675226427

Tajuk: 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia
Penulis: Norlela Zubir
Penerbit: PTS Professional
ISBN: 9833586384, 9789833586387

Tajuk: Business Management for Hairdressers and Therapists
Penulis: Susan Cressy
Penerbit: Heinemann
ISBN: 0435456415, 9780435456412

Tajuk: Spa Business Strategies: A Plan For Success
Penulis: Janet M. D'Angelo
Penerbit: Cengage Learning
ISBN: 1435482093, 9781435482098

Tajuk: How to Sell Health and Beauty Products on eBay
Penulis: Joan M. Kanavich, Roxanne Richardson
Penerbit: McGraw-Hill Companies, Incorporated
ISBN: 1599180634, 9781599180632


Tajuk: Beautiful Selling: The Complete Guide to Sales Success in the Salon
Penulis: Ruth Langley
Penerbit: Cengage Learning EMEA
ISBN: 1844807487, 9781844807482


Tajuk: 101 Internet Businesses You Can Start From Home
Penulis: Susan Sweeney, Kara Sweeney
Penerbit: Maximum Press
ISBN: 1931644799, 9781931644792


Tajuk: How To Open & Operate a Financially Successful Personal Training Business
Penulis: John N. Peragine
Penerbit: Atlantic Publishing Company
ISBN: 1601381174, 9781601381170


Tajuk: Buat Duit Dengan Salun
Penulis: Mahsuri Ayu
Penerbit: PTS Media Group Sdn. Bhd.
ISBN: 9673690456, 9789673690459


Tajuk: Ahli Farmasi
Penulis: Mohd Yahya Mohamed Ariffin
Penerbit: Utusan Publications
ISBN: 9676120316, 9789676120311

Sebenarnya ada banyak lagi buku-buku yang para pembaca sekalian boleh dapatkan dan rujuk. Ini hanyalah sebahagian kecil buku yang ada di pasaran yang saya senaraikan.


Monday 18 March 2013

Kemalangan [18.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Sumber: Carian Google
Ya, saya mengalami kemalangan pada hari Isnin, 18 Mac 2013 yang lalu sewaktu hendak masuk ke pejabat pada waktu petang selepas selesai menghantar anak sulung ke kelas KAFAnya. Puncanya, saya terlelap semasa memandu. Walaupun kemalangan yang berlaku tidak seteruk gambar di atas, saya tetap merasa cemas dan menggigil kerana telah melanggar kereta orang. Perkara pertama yang terlintas di fikiran, "Mesti orang ni nak marah, maki hamun aku sebab aku dah langgar kereta dia." Kedua, bagaimana saya hendak beritahu suami yang saya telah mengalami kemalangan. Pasti suami saya akan melenting marah kerana ini adalah kali kedua saya kemalangan kereta dalam tempoh dua bulan berturut-turut disebabkan kecuaian saya sendiri. Dan ketiga, di mana saya hendak mencari duit untuk memperbaiki kedua-dua kereta suami dan juga kereta orang yang saya langgar itu.

Tetapi alhamdulillah, Allah tetap bersama saya. Kedua-dua kereta kami tidak mengalami kerosakan yang serius. Tuan pemilik kereta tersebut juga bukanlah seorang yang pemarah atau pembengis, malah beliau memberikan kerjasama yang sangat baik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Setelah kembali semula ke pejabat, saya terus berjumpa dengan suami dan memberitahunya bahawa saya kemalangan. Beliau sedikit terkejut, tetapi tidak melenting sepertimana yang saya fikirkan sejurus selepas kemalangan tersebut berlaku. Walaupun begitu, emosi saya terus menjadi tidak menentu. Saya hilang fokus kepada tugas di pejabat.

Mujur ada teman yang boleh saya berkongsi cerita. Beliaulah yang memberikan semangat dan menenangkan saya. Katanya, saya perlu mendapatkan rehat yang secukupnya supaya kemalangan seperti ini tidak berulang lagi. Ya saya akui, saya memang kurang rehat semenjak beberapa hari sebelum berlakunya kemalangan. Anak-anak bersilih ganti demam. Ditambah pula dengan otak yang sentiasa memikirkan tugas di pejabat yang semakin banyak tertunggak.

Semoga kemalangan seperti ini tidak akan berulang lagi di dalam kehidupan saya sama ada ke atas diri saya sendiri mahupun ke atas insan-insan yang amat saya sayangi. Pembaca sekalian juga harus menjaga kesihatan masing-masih serta berhati-hati semasa memandu agar kemalangan akibat kecuaian seperti ini dapat dielakkan. Jagalah kesihatan dan emosi kita, kerana keadaan emosi yang tidak stabil sememangnya memberikan impak yang besar kepada kehidupan seharian kita.

Perjalanan seribu batu bermula daripada langkah pertama [17.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Hari ini sangat cerah. Subhanallah... Maha suci Allah. Saya teramat suka memandang langit pagi yang putih kebiru-biruan. Tetapi hati saya tidak secerah cuaca hari ini, sebab giliran sang putera tengah pula yang demam. Puteri bongsu pula nampaknya sudah pulih seperti biasa.

Rutin harian saya berjalan seperti biasa, hanya acara "1 million women purple walk" yang tidak dapat saya sertai kerana keadaan anak-anak yang bergilir-gilir demamnya. Dugaan buat saya dan suami nampaknya dihujung minggu ni. Tetapi ummi sentiasa doakan supaya anak-anak ummi kembali sihat seperti selalu. Amin...

Sambil melayan dan menjaga anak-anak serta melipat kain-kain baju yang dah seperti gunung kinabalu, saya melayari internet melalui telefon pintar bagi mendapatkan bahan penulisan entri berkaitan tips mula bisnes kesihatan dan kecantikan yang akan dimuatkan di dalam blog ini.

Carian Google

Seperti kata pepatah, perjalanan seribu batu bermula daripada langkah pertama. Jika kita tidak memulakan langkah yang pertama itu, pastinya kita tidak akan bergerak kemana-mana, apatah lagi mahu mencapai langkah yang ke seribu! Mudah-mudahan langkah pertama saya ini dipermudahkan sehingga ke langkah yang ke-seribu mahupun langkah yang ke-sejuta bagi menulis entri-entri memulakan bisnes kesihatan dan kecantikan sebagai panduan pembaca semua, walaupun hari ini saya tidak dapat sertai acara "1 million women purple walk" pada pagi tadi.

Saturday 16 March 2013

Santai di hujung minggu [16.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @Wahid

Hari ini hari Sabtu, saya dan keluarga hanya duduk berehat-rehat dirumah pada sebelah pagi, melayan kerenah anak-anak sambil menonton televisyen dan membuat kerja-kerja rumah yang ringan-ringan. Kalau semalam puteri sulung demam dan cirit-birit, hari ini puteri bongsu pula menunjukkan tanda-tanda seperti mahu demam.

Tetapi oleh kerana telah berjanji dengan sepupu untuk datang kerumahnya pada sebelah petang, kami bersiap-siap juga dan terus ke rumahnya. Seronok rasanya dapat berjumpa sepupu-sepupu kesayangan serta makcik dan pakcik yang baru pulang daripada menunaikan umrah, juga dengan kehadiran kakak tersayang bersama abang ipar dan anak-anaknya.

Bermacam-macam pengalaman yang diceritakan oleh pakcik dan makcik kami sewaktu berada di tanah suci Mekah. Walaupun ini bukanlah kali pertama mereka ke sana, tetapi setiap kali ke sana pasti mereka akan merasai pengalaman yang berbeza. Saya sangat teruja mendengar cerita mereka. In shaa Allah mudah-mudahan saya juga diberi peluang oleh Allah untuk menjadi tetamu-Nya, sepertimana yang saya impikan, untuk membawa mama tersayang untuk menunaikan umrah setiap tahun.

Usai menunaikan solat maghrib, kami sekeluarga memohon diri untuk pulang, kerana kami perlu ke pusat membeli-belah bagi membeli beberapa barang keperluan terutamanya baju berwarna ungu yang perlu dipakai pada hari esok sempena "1 million women purple walk" yang wajib saya hadiri. Makcik tidak lepas untuk memberikan beberapa buah tangan yang dibelinya semasa berada di tanah suci, antaranya: buah tin, kurma, air zam zam, mintak wangi, inai Mekah, dan juga tasbih digital yang saya cari-cari selama ini! Alhamdulillah... Syukur sangat apabila menerima pemberian daripadanya. Saya doakan semoga pakcik dan makcik saya sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah.

Destinasi seterusnya adalah Jusco. Walaubagaimanapun, pencarian barangan terpaksa dihentikan setelah putera kedua tidur di dalam dukungan suami, dan puteri bongsu muntah di dalam dukungan saya. Kami terus pulang ke rumah untuk membersihkan diri. Nampak gayanya saya tidak dapat sertai acara jalan kaki sejuta wanita esok kerana anak tidak sihat. Dugaan lagi buat saya. Tidak mengapalah, keluarga dan anak-anak lebih penting buat saya berbanding acara itu. Mudah-mudahan anak-anak saya kembali sihat dan ceria seperti selalu pada hari esok! In shaa Allah....

Friday 15 March 2013

Pengenalan

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Bismillahirahmanirrahim...



Nurulhuda binti Ismail @ Wahid, nama tuan empunya diri, yang diberikan oleh mama dan arwah abah yang amat saya kasihi dan sayangi. Saya dilahirkan tepat jam 9.23 malam pada hari Krismas tahun 1979 di Hospital Batu Pahat. Dibesarkan juga di Batu Pahat. Saya mempunyai 6 orang adik-beradik yang pada saya susunannya sangat cantik! Abang yang sulung, kakak yang kedua, saya yang ketiga, 2 orang adik lelaki kemudiannya, dan yang bongsu adik perempuan.



Mendapat pendidikan tertinggi Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer daripada salah sebuah universiti tempatan, UNIMAS pada 2004, saya kini bekerja di salah sebuah agensi kerajaan sebagai Pegawai Teknologi Maklumat berstatus kontrak. Saya juga pernah bekerja di dalam bidang perkhidmatan pelanggan, sebagai tutor IT, dan juga sebagai pengaturcara komputer. Minat dan kecintaan yang mendalam terhadap pengaturcaraan komputer membuatkan saya tidak pernah jemu melaksanakan semua tugasan yang diberikan oleh ketua saya.



Tetapi kini minat saya telah bertambah. Saya seronok untuk mendalami ilmu keibubapaan, penyusuan, serta berkongsi kebaikan makanan tambahan Shaklee yang juga merupakan sumber pendapatan sampingan saya selain mendapat gaji tetap setiap bulan.



Saya sangat seronok berkongsi kebaikan setiap produk Shaklee bersama keluarga dan rakan-rakan serta masyarakat sekeliling, dan semakin seronok apabila keluarga dan rakan-rakan turut merasai kesihatan dan kehidupan yang lebih baik setelah mengamalkan produk-produk tersebut.



Mudah-mudahan melalui bisnes Shaklee ini, saya dapat mencapai impian saya untuk menikmati kehidupan yang bebas daripada masalah kewangan, boleh melancong kemana-mana sahaja bersama suami dan anak-anak, dapat membawa mama tercinta menunaikan umrah setiap tahun, serta menjadi surirumah tangga sepenuh masa tetapi tetap mempunyai pendapatan sendiri - "Work-At-Home-Mom" atau singkatannya WAHM. In shaa Allah.... Amin!



Wassalam

Catatan 15.03.2013

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Hari ini sedikit berbeza daripada hari-hari sebelumnya. Ini adalah kerana anak sulung saya yang berusia 7 tahun demam dan cirit-birit. Jadi beliau tidak saya kejutkan seperti biasa untuk ke sekolah.



Selepas bersiap dan menyiapkan anak-anak, saya memaklumkan kepada ketua seksyen bahawa saya akan masuk ke pejabat sedikit lewat daripada biasa kerana perlu membawa anak sulung ke klinik terlebih dahulu bagi mendapatkan rawatan. Daripada klinik, saya dan suami terus ke sekolah anak bagi memaklumkan dan menghantar surat cuti sakit anak ke bahagian pentadbiran sekolah. Setelah itu kami terus ke pejabat, dan saya membawa puteri sulung kami itu duduk bersama-sama saya di pejabat.



Dua kali muntah dan dua kali buang air sepanjang beliau bersama saya di pejabat di sebelah pagi. Mujurlah beliau masih aktif seperti biasa walaupun demam dan cirit-birit akibat keracunan makanan. Alhamdulillah... Mujur juga hari ini adalah hari Jumaat, maka waktu rehat tengahari adalah panjang sedikit berbanding hari biasa. Pada waktu rehat tengahari itu saya mengambil peluang untuk ke ibu pejabat Shaklee bagi membeli sedikit stok produk, dan kembali semula ke pejabat tepat pada masa bermulanya waktu bekerja sebelah petang.



Urusan pejabat saya teruskan seperti biasa, sambil menjaga sang puteri yang semakin pulih. Rutin biasa selepas habis waktu pejabat, kami akan mengambil anak-anak daripada taska, dan kembali semula ke rumah untuk berehat sambil menguruskan rumah dan melayan kerenah anak-anak.



Syukur alhamdulillah, rutin kehidupan saya kembali normal apabila puteri yang dikasihi telah kembali sihat. Teringat kembali kata-kata guru saya, setiap dugaan dan ujian yang Allah turunkan kepada kita adalah sebagai peringatan-Nya. Mungkin saya dan suami ada lalai dalam melaksanakan perintah-Nya, atau kami kurang bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang Dia kurniakan, maka Dia menarik sedikit rezeki dan nikmat kesihatan dan kesenangan yang kami ada melalui penyakit yang diberikan kepada anak kami. Sesungguhnya Allah maha pengasih lagi maha penyayang... Dengan dugaan ini jugalah sang puteri yang sering rasa terabai dan diketepikan kerana saya sering mengutamakan keperluan adiknya yang berusia 8 bulan, dapat bermanja-manja dengan saya sepanjang beliau bersama saya di pejabat.

Benarlah juga kata orang, psikologi anak mempengaruhi kesihatannya juga. Jika anak yang sihat tetapi sering mengalami masalah gangguan emosi, anak itu akan kerap menunjukkan simptom sakit dan tidak sihat. Tetapi apabila anak-anak yang kurang sihat ini dijaga dengan penuh kasih sayang, dia berasa gembira, dan emosinya terjaga, beliau akan mengalami kesembuhan dengan kadar yang cepat. Tetapi kita masih perlu berusaha untuk memberikan rawatan kepada mereka, sama ada rawatan secara moden, tradisional mahupun semulajadi, di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah untuk menyembuhkan segala penyakit mereka.