Monday 1 April 2013

WAHM [01.04.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Hari ini hari pertama Yasmin bersekolah semula selepas cuti sekolah selama seminggu. Bermula semula rutin terkejar-kejar setiap pagi, tengahari dan petang untuk hantar dan ambil dia dari sekolah. Masa mula-mula masuk sekolah awal tahun, saya yang akan bersiap dan menghantar dia ke sekolah, kadang-kadang dengan mengendong Maryam sekali kalau Maryam bangun awal pagi. Tapi selepas sebulan, saya mula terkejar-kejar bersiap, dan mula rasa tertekan setiap pagi menguruskan semuanya seorang diri. Oleh sebab itu, kini tugas menghantar Yasmin ke sekolah saya serahkan kepada suami. Cuma pada waktu tengahari dan petang sahaja saya masih uruskan mengambil dan menghantar Yasmin ke kelas Kafa.

Rutin begini saban hari kadang-kadang membuatkan saya sangat penat dan tertekan, lebih-lebih lagi bila otak dah letih dengan tugas di pejabat, bila petang pula saya terpaksa ambil ketiga-tiga anak dari taska dan sekolah yang berlainan seorang diri, dan terus pulang ke rumah dengan membawa pelbagai beg penuh di kedua-dua bahu dan tangan!

Bila dah berkeadaan seperti ini, keinginan saya untuk menjadi surirumah tangga sepenuh masa semakin meluap-luap. Walaupun saya tahu, menjadi surirumah tangga sebenarnya lebih penat daripada menjadi ibu bekerjaya, tetapi hasrat itu tetap menjadi impian saya. Saya sudah mula hilang semangat dan minat untuk bekerja makan gaji. Kesibukan kerja di pejabat sangat membataskan masa berkualiti saya bersama anak-anak dan keluarga.

Saya tahu, apabila bergelar surirumah tangga sepenuh masa nanti, saya perlu lebih bijak untuk menguruskan masa; membahagikan masa antara menguruskan perniagaan yang dijalankan dari rumah, dan menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Saya pastinya akan jadi lebih sibuk dan lebih penat berbanding semasa bekerja makan gaji. Tetapi sekurang-kurangnya saya gembira sebab anak-anak sentiasa di depan mata saya, dan saya tak perlu lagi sakit kepala dan sakit hati memikirkan bebanan kerja dan berhadapan dengan pelbagai politik pejabat.

Mudah-mudahan Allah melorongkan laluan yang mudah untuk saya menjadi WAHM dalam masa terdekat ini, dan melembutkan hati suami yang tercinta untuk merestui dan menyokong impian saya ini. Buat masa ini suami saya masih belum yakin kami mampu untuk meneruskan hidup seperti biasa dari segi kewangan jika saya berhenti kerja. Tetapi saya yakin bahawa Allah akan mengurniakan rezeki yang mencukupi buat kami sekeluarga walaupun hanya suami seorang yang bekerja dengan pendapatan yang tetap setiap bulan, manakala pendapatan saya pula bergantung kepada berapa banyak perolehan dan keuntungan daripada jualan perniagaan yang dijalankan secara online daripada rumah. Ya, saya mesti buktikan kepada suami bahawa saya juga mampu untuk menyumbang dari segi kewangan kepada keluarga seperti sekarang ini walaupun saya memegang 'jawatan' surirumah tangga sepenuh masa pada masa akan datang!

No comments:

Post a Comment