Tuesday, 9 April 2013

Selasa yang menggembirakan [09.04.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Alhamdulillah. Hari ini saya pulang ke rumah dengan perasaan yang lega dan gembira. Tidak seperti seminggu yang lalu, tiap-tiap hari pulang ke rumah dengan keadaan tertekan.

Tidah pernah terlintas di fikiran saya untuk meminta dipuji atau dijadikan pekerja contoh oleh ketua-ketua. Semua yang dibuat adalah atas dasar menyiapkan tugas dengan sebaik mungkin. Saya tidak kata yang saya ini 'sangat bagus', malahan selama ini kerja saya semuanya berada di tahap yang biasa-biasa sahaja. Kadang-kala ada masanya saya cuai dalam menyiapkan tugasan yang diberikan oleh ketua, sehingga ketua kami terpaksa membuat 'buku hutang' kepada setiap dari kami supaya kami tidak lalai menyiapkan semua tugasan tepat pada masanya.

Tetapi pada hari ini tanpa disangka-sangka saya mendapat emel pujian daripada seorang pemohon yang agak cerewet dan susah untuk diuruskan kerana banyak membantu beliau untuk menyelesaikan masalah yang beliau hadapi walaupun masalah beliau masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya. Dan kemudiannya ketua-ketua juga memuji saya diatas sikap dan usaha yang saya lakukan dalam membantu menyelesaikan masalah pemohon tersebut. Alhamdulillah, dengan kemahiran dan pengalaman yang saya ada semasa bekerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan dahulu, saya berjaya membantu pemohon tersebut walaupun pada awalnya saya agak tertekan setiap kali menghubungi beliau.

Mudah-mudahan masalah beliau akan selesai sepenuhnya tidak lama lagi. Bukan ganjaran atau pujian daripada ketua dan rakan-rakan yang saya harapkan, tetapi kepuasan hati pelanggan apabila masalah mereka berjaya saya selesaikan sepenuhnya. Apabila pelanggan gembira, saya turut rasa senang hati! Semoga Allah lindungi saya daripada perasaan riak dan lupa diri dengan pujian-pujian yang saya terima pada hari ini. In shaa Allah...

No comments:

Post a Comment