Monday, 29 April 2013

Team building - Hari pertama [26.04.2013]

Perjalanan ke Bukit Gambang Resort City bermula lebih kurang pukul 5 petang setelah menyelesaikan tugas-tugas di pejabat pada sebelah pagi. Suami memandu dalam keadaan tenang dan berhati-hati walaupun saya menggesa beliau untuk memecut sedikit, kerana saya takut terlewat tiba di sana. Jika mengikut tentatif program, aktiviti pertama akan bermula jam 8.30 malam.

Alhamdulillah, kami tiba tepat pada masanya. Selepas check-in, saya bersiap-siap mengikut tema pakaian yang ditetapkan iaitu berpakaian kasual, dan meninggalkan anak-anak bersama suami di bilik untuk sementara waktu.

Program team building bermula pada jam 9 malam dengan pembahagian semua peserta kepada 6 buah kumpulan, dan kami diberikan tugasan untuk melantik ketua kumpulan, memilih nama kumpulan, melukis bendera kumpulan, dan mencipta lagu sorak untuk kumpulan masing-masing.

Setelah aktiviti berakhir lebih kurang jam 11 malam, saya bergegas balik ke bilik kerana suami telah menghantar mesej pesanan ringkas memberitahu anak-anak tercari-cari saya dan masing-masing tidak mahu tidur selagi saya belum balik. Setibanya saya dibilik, masing-masing menerkam dan memeluk saya seolah-olah seharian tidak berjumpa saya, walhal baru lebih kurang 2 jam saya meninggalkan mereka bersama ayahnya!

Tuesday, 16 April 2013

Teknik Pemasaran Offline

Teks: Nurulhuda binti Ismail @ Wahid

Tempohari saya telah kongsikan beberapa teknik pemasaran secara online. Hari ini saya ingin senaraikan pula antara teknik-teknik pemasaran konvensional atau offline yang kita boleh buat untuk mempromosikan atau memasarkan produk atau perniagaan kita:

1. Iklan di akhbar/majalah/papan buletin
Kita boleh mengeluarkan sedikit modal untuk mengiklankan produk atau perniagaan kita dengan menyewa ruangan iklan di akhbar atau majalah, malah boleh menampal iklan di papan kenyataan atau papan buletin di kawasan apartment, pusat kejiranan ataupun di dalam kedai serbaneka yang ada menyediakan perkhidmatan papan buletin tersebut.

2. Edaran flyer/brochure
Flyer/brochure boleh dimasukkan ke dalam peti surat atau diselitkan di cermin hadapan kereta di kawasan kejiranan kita, malah boleh menumpang menyelitkan flyer/brochure kita di dalam akhbar harian yang dijual di kedai atau yang diedarkan oleh wakil pengedar akhbar.

3. Membuka booth
Jika ada karnival, ekspo atau sebagainya, kita boleh menyewa booth untuk menjual atau sekurang-kurangnya mempromosikan produk, perniagaan atau perkhidmatan kita. Orang ramai yang hadir ke karnival tersebut mungkin berminat untuk menyinggah, membelek, atau mungkin terus membeli produk kita itu.

4. Promosi melalui "word of mouth"
Kuasa promosi melalui mulut-ke-mulut memang tidak dinafikan keberkesanannya. Tetapi dengan syarat, produk atau perkhidmatan kita jual mestilah memberikan hasil yang terbaik kepada pembeli dan mempunyai kelainan daripada peniaga yang lain. Contohnya, bagi produk pelangsingan, hasilnya pengguna berjaya menurunkan berat badan seperti yang diinginkan di dalam satu jangka masa yang singkat tetapi tidak memberikan kesan mudarat kepada mereka di atas penurunan berat badan yang drastik itu; atau bagi perkhidmatan dobi, hasil cucian mestilah bersih dan wangi serta menawarkan harga yang berpatutan, ditambah lagi dengan servis penghantaran percuma atau memberikan promosi cucian percuma bagi setiap 10 kali servis misalnya. Dengan adanya testimonial daripada pelanggan yang sangat berpuas hati dengan produk atau perkhidmatan kita, mereka pasti akan menyebarkan dan memberikan rekomendasi kepada keluarga dan rakan-rakan mereka untuk membeli daripada kita!

5. Sampel percuma
Kita juga boleh memberikan sampel bagi sesuatu produk kita secara percuma kepada kawan-kawan atau jiran atau kepada pelanggan yang datang ke booth untuk dicuba terlebih dahulu. Atau contohnya memberikan sampel percuma produk A bagi setiap pembelian produk B dan C yang berharga RM80 ke atas. Dengan ini, pelanggan pasti akan membeli produk A itu pula di masa akan datang.

6. Kupon atau baucer diskaun
Untuk mengikat pelanggan agar mengulang membeli daripada kita, kita berikan mereka kupon atau baucer diskaun yang mempunyai tarikh luput sebulan atau dua bulan daripada tarikh pembelian terakhir mereka. Kebiasaannya pelanggan pasti akan mengulang pembelian sebelum tarikh luput yang terdapat di dalam kupon atau baucer diskaun tersebut kerana mereka dapat membeli produk-produk kita dengan harga yang lebih murah.

Sebenarnya ada banyak lagi teknik pemasaran dan promosi secara offline yang boleh kita lakukan untuk menarik lebih ramai pelanggan. Yang saya senaraikan disini hanyalah sebahagiannya sahaja. Yang penting, kita tidak kedekut untuk melabur sedikit duit dan meluangkan sedikit masa bagi mempromosikan produk atau perniagaan kita, serta tidak malu untuk melakukannya selagi ianya tidak menyalahi undang-undang dan etika.

Selamat mencuba!

Tuesday, 9 April 2013

Selasa yang menggembirakan [09.04.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Alhamdulillah. Hari ini saya pulang ke rumah dengan perasaan yang lega dan gembira. Tidak seperti seminggu yang lalu, tiap-tiap hari pulang ke rumah dengan keadaan tertekan.

Tidah pernah terlintas di fikiran saya untuk meminta dipuji atau dijadikan pekerja contoh oleh ketua-ketua. Semua yang dibuat adalah atas dasar menyiapkan tugas dengan sebaik mungkin. Saya tidak kata yang saya ini 'sangat bagus', malahan selama ini kerja saya semuanya berada di tahap yang biasa-biasa sahaja. Kadang-kala ada masanya saya cuai dalam menyiapkan tugasan yang diberikan oleh ketua, sehingga ketua kami terpaksa membuat 'buku hutang' kepada setiap dari kami supaya kami tidak lalai menyiapkan semua tugasan tepat pada masanya.

Tetapi pada hari ini tanpa disangka-sangka saya mendapat emel pujian daripada seorang pemohon yang agak cerewet dan susah untuk diuruskan kerana banyak membantu beliau untuk menyelesaikan masalah yang beliau hadapi walaupun masalah beliau masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya. Dan kemudiannya ketua-ketua juga memuji saya diatas sikap dan usaha yang saya lakukan dalam membantu menyelesaikan masalah pemohon tersebut. Alhamdulillah, dengan kemahiran dan pengalaman yang saya ada semasa bekerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan dahulu, saya berjaya membantu pemohon tersebut walaupun pada awalnya saya agak tertekan setiap kali menghubungi beliau.

Mudah-mudahan masalah beliau akan selesai sepenuhnya tidak lama lagi. Bukan ganjaran atau pujian daripada ketua dan rakan-rakan yang saya harapkan, tetapi kepuasan hati pelanggan apabila masalah mereka berjaya saya selesaikan sepenuhnya. Apabila pelanggan gembira, saya turut rasa senang hati! Semoga Allah lindungi saya daripada perasaan riak dan lupa diri dengan pujian-pujian yang saya terima pada hari ini. In shaa Allah...

Tuesday, 2 April 2013

Migraine [02.04.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Sudah hampir seminggu saya diserang migraine. Mungkin faktor kurang rehat dan tekanan kerja di pejabat membuatkan saya mengalami migraine.


Sedikit maklumat yang saya perolehi daripada pencarian di internet tentang perkara-perkara yang boleh menyebabkan migraine berlaku.

Dalam kes normal, antara sebab-sebab migraine adalah:

  • alahan kepada sesuatu
  • cahaya yang cerah, bunyi bising dan bau tertentu
  • tekanan fizikal atau emosi
  • perubahan dalam waktu tidur
  • merokok atau terhidu asap rokok
  • tidak makan
  • alkohol
  • haid
  • makanan yang ada MSG (contoh: aji-no-moto)
  • pening kepala
  • makanan lain seperti coklat
  • cuaca
Setelah diteliti satu persatu diantara punca-punca di atas, saya amat pasti migraine saya ini berpunca daripada tekanan dan perubahan dalam waktu tidur. Walaupun migraine saya ini hanya datang menyerang sesekali dan tidak terlalu teruk, tetapi sedikit sebanyak ia tetap mengganggu tugas harian saya di rumah dan juga di pejabat. Mungkin saya perlu mengambil cuti untuk beberapa hari dan berehat bagi melegakan tekanan yang dihadapi. Percutian di pulau atau di kawasan sejuk seperti Bukit Tinggi atau Cameron High pastinya amat menenangkan dan merehatkan otak dan badan kita.

Keadaan seperti inilah yang membuatkan ramai pengusaha pusat spa mengambil peluang untuk mempromosikan spa milik mereka. Dengan promosi yang diberikan melalui perkhidmatan secara pakej seperti urutan muka dan badan dengan harga istimewa dan sebagainya, pemilik spa pastinya akan mendapat lebih ramai pelanggan untuk datang memanjakan badan bagi melegakan ketegangan yang mereka alami. 

Tidak semestinya kita memerlukan ubat doktor untuk memulihkan setiap penyakit yang kita hidapi. Kadang-kala dengan rehat yang mencukupi, atau mendapatkan khidmat urut dan refleksologi di spa dapat melegakan atau menyembuhkan penyakit yang kita hidapi.

Monday, 1 April 2013

WAHM [01.04.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Hari ini hari pertama Yasmin bersekolah semula selepas cuti sekolah selama seminggu. Bermula semula rutin terkejar-kejar setiap pagi, tengahari dan petang untuk hantar dan ambil dia dari sekolah. Masa mula-mula masuk sekolah awal tahun, saya yang akan bersiap dan menghantar dia ke sekolah, kadang-kadang dengan mengendong Maryam sekali kalau Maryam bangun awal pagi. Tapi selepas sebulan, saya mula terkejar-kejar bersiap, dan mula rasa tertekan setiap pagi menguruskan semuanya seorang diri. Oleh sebab itu, kini tugas menghantar Yasmin ke sekolah saya serahkan kepada suami. Cuma pada waktu tengahari dan petang sahaja saya masih uruskan mengambil dan menghantar Yasmin ke kelas Kafa.

Rutin begini saban hari kadang-kadang membuatkan saya sangat penat dan tertekan, lebih-lebih lagi bila otak dah letih dengan tugas di pejabat, bila petang pula saya terpaksa ambil ketiga-tiga anak dari taska dan sekolah yang berlainan seorang diri, dan terus pulang ke rumah dengan membawa pelbagai beg penuh di kedua-dua bahu dan tangan!

Bila dah berkeadaan seperti ini, keinginan saya untuk menjadi surirumah tangga sepenuh masa semakin meluap-luap. Walaupun saya tahu, menjadi surirumah tangga sebenarnya lebih penat daripada menjadi ibu bekerjaya, tetapi hasrat itu tetap menjadi impian saya. Saya sudah mula hilang semangat dan minat untuk bekerja makan gaji. Kesibukan kerja di pejabat sangat membataskan masa berkualiti saya bersama anak-anak dan keluarga.

Saya tahu, apabila bergelar surirumah tangga sepenuh masa nanti, saya perlu lebih bijak untuk menguruskan masa; membahagikan masa antara menguruskan perniagaan yang dijalankan dari rumah, dan menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Saya pastinya akan jadi lebih sibuk dan lebih penat berbanding semasa bekerja makan gaji. Tetapi sekurang-kurangnya saya gembira sebab anak-anak sentiasa di depan mata saya, dan saya tak perlu lagi sakit kepala dan sakit hati memikirkan bebanan kerja dan berhadapan dengan pelbagai politik pejabat.

Mudah-mudahan Allah melorongkan laluan yang mudah untuk saya menjadi WAHM dalam masa terdekat ini, dan melembutkan hati suami yang tercinta untuk merestui dan menyokong impian saya ini. Buat masa ini suami saya masih belum yakin kami mampu untuk meneruskan hidup seperti biasa dari segi kewangan jika saya berhenti kerja. Tetapi saya yakin bahawa Allah akan mengurniakan rezeki yang mencukupi buat kami sekeluarga walaupun hanya suami seorang yang bekerja dengan pendapatan yang tetap setiap bulan, manakala pendapatan saya pula bergantung kepada berapa banyak perolehan dan keuntungan daripada jualan perniagaan yang dijalankan secara online daripada rumah. Ya, saya mesti buktikan kepada suami bahawa saya juga mampu untuk menyumbang dari segi kewangan kepada keluarga seperti sekarang ini walaupun saya memegang 'jawatan' surirumah tangga sepenuh masa pada masa akan datang!

Saturday, 30 March 2013

Teknik Pemasaran Online VS Offline

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Pemasaran adalah suatu perkara yang amat penting dalam apa juga perniagaan yang dijalankan, sama ada pemasaran secara online ataupun offline. Pemasaran amat penting untuk kita memperkenalkan jenama, produk, perniagaan atau perkhidmatan yang kita tawarkan.

Ada banyak cara atau teknik pemasaran yang boleh kita buat, sama ada secara online ataupun secara offline/konvensional.Mari kita lihat satu persatu cara pemasaran secara online dan offline.

Pemasaran online
Kita semua sedia maklum, melalui media internet, kita boleh memasarkan produk, perniagaan atau perkhidmatan kita tanpa mengeluarkan sebarang modal atau mungkin hanya mengeluarkan modal yang sedikit untuk menghadiri kursus/kelas/bengkel bagi mempelajari teknik pemasaran online atau membeli perisian bagi membantu meningkatkan jualan. Ada beberapa cara yang boleh kita gunakan bagi pemasaran online secara percuma:

Cara 1: Pemasaran mengunakan forum
Pemasaran menggunakan forum bermaksud kita menyertai sebarang forum mengikut minat kita dan beriklan di forum tersebut. Caranya, kita gunakan tandatangan kita dengan meletakkan banner atau apa-apa sahaja iklan di ruang tandatangan dan aktifkan diri untuk berforum. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan lebih ramai yang melihat iklan kita.

Cara 2: Pemasaran melalui blog
Pemasaran tanpa modal melalui medium blog sebenarnya tidaklah terlalu sukar dan tidaklah terlalu mudah. Kita boleh menggunakan platform blog percuma seperti blogger.com atau wordpress.com untuk melakukan pemasaran iklan kita. Bagaimana caranya? Mudah sahaja, cuma letakkan atau promosikan iklan di blog kita. Tetapi, pemasaran melalui blog memerlukan semangat yang konsisten untuk mempromosi dan menarik trafik ke blog kita.

Cara 3: Pemasaran melalui media sosial
Media sosial yang mempunyai pengguna dan trafik yang tinggi bagi pasaran tempatan ialah Facebook dan Twitter. Seperti yang kita sedia maklum, kita tidak dikenakan sebarang bayaran untuk membuka akaun media sosial ini yang mana dapat membantu kita meluaskan pasaran kita.

Untuk pemasaran secara offline atau konvensional, saya akan sambung di dalam entri yang seterusnya. Nantikan entri tersebut ye!

Friday, 29 March 2013

5S ditempat kerja [29.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Bagi yang bekerja dalam sektor kerajaan, istilah 5S bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Malah ada  sesetengah syarikat swasta juga mengamalkan konsep 5S ini. Hari ini saya dan rakan sepejabat sama-sama bergotong-royong untuk melaksanakan 5S ini kerana audit bagi 5S akan diadakan di pejabat kami pada 2 April 2013 ini.

Apa itu 5S?
5S merupakan rujukan kepada satu konsep pengurusan di dalam bahasa Jepun yang membawa maksud:

1. Seiri / Sisih
Menyisih dan membuang barang yang tidak perlu di tempat kerja

2. Seiton / Susun
Menyusun dan menyimpan barang dengan kemas, mudah diambil dan disimpan

3. Seiso / Sapu
Mencuci tempat kerja dengan rapi supaya tiada habuk di lantai, mesin dan peralatan

4. Seiketsu / Seragam
Seragamkan atau memelihara kebersihan dan penyusunan sepanjang masa serta mudah mengamalkan Seiri-Seiton-Seiso

5. Shitsuke / Sentiasa Amal
Berdisiplin dan melatih pekerja mematuhi peraturan dan bertabiat baik di tempat kerja

Sebenarnya konsep 5S ini boleh diamalkan dan diguna pakai dimana-mana sahaja: rumah, pejabat, kedai, klinik, farmasi, dan sebagainya. Tak kira apa jua jenis perniagaan yang kita jalankan, konsep 5S ini tetap sesuai untuk kita amalkan. Dengan adanya amalan 5S ini, perniagaan kita akan lebih terurus, sekaligus menarik pelanggan untuk berada di dalam premis perniagaan kita dengan selesa kerana keadaannya yang bersih, kemas dan teratur. Lebih-lebih lagi kalau kita menjalankan perniagaan kesihatan dan kecantikan. Tempat yang cantik, kemas, bersih, serta selesa pastinya mengundang rezeki yang luas kepada perniagaan kita. Sihat dan cantik mestilah sinonim dengan bersih dan kemas, kan? Kalau comot, tak bersih dan bersepah-sepah, macam mana kita nak sihat dan cantik!

5S di meja kerja saya masih belum selesai hari ini. Nampaknya kerja-kerja 5S saya perlu disambung lagi pada hari Isnin sebelum pihak audit datang menilai.