Showing posts with label Tips Bisnes Kesihatan dan Kecantikan. Show all posts
Showing posts with label Tips Bisnes Kesihatan dan Kecantikan. Show all posts

Tuesday, 2 April 2013

Migraine [02.04.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Sudah hampir seminggu saya diserang migraine. Mungkin faktor kurang rehat dan tekanan kerja di pejabat membuatkan saya mengalami migraine.


Sedikit maklumat yang saya perolehi daripada pencarian di internet tentang perkara-perkara yang boleh menyebabkan migraine berlaku.

Dalam kes normal, antara sebab-sebab migraine adalah:

  • alahan kepada sesuatu
  • cahaya yang cerah, bunyi bising dan bau tertentu
  • tekanan fizikal atau emosi
  • perubahan dalam waktu tidur
  • merokok atau terhidu asap rokok
  • tidak makan
  • alkohol
  • haid
  • makanan yang ada MSG (contoh: aji-no-moto)
  • pening kepala
  • makanan lain seperti coklat
  • cuaca
Setelah diteliti satu persatu diantara punca-punca di atas, saya amat pasti migraine saya ini berpunca daripada tekanan dan perubahan dalam waktu tidur. Walaupun migraine saya ini hanya datang menyerang sesekali dan tidak terlalu teruk, tetapi sedikit sebanyak ia tetap mengganggu tugas harian saya di rumah dan juga di pejabat. Mungkin saya perlu mengambil cuti untuk beberapa hari dan berehat bagi melegakan tekanan yang dihadapi. Percutian di pulau atau di kawasan sejuk seperti Bukit Tinggi atau Cameron High pastinya amat menenangkan dan merehatkan otak dan badan kita.

Keadaan seperti inilah yang membuatkan ramai pengusaha pusat spa mengambil peluang untuk mempromosikan spa milik mereka. Dengan promosi yang diberikan melalui perkhidmatan secara pakej seperti urutan muka dan badan dengan harga istimewa dan sebagainya, pemilik spa pastinya akan mendapat lebih ramai pelanggan untuk datang memanjakan badan bagi melegakan ketegangan yang mereka alami. 

Tidak semestinya kita memerlukan ubat doktor untuk memulihkan setiap penyakit yang kita hidapi. Kadang-kala dengan rehat yang mencukupi, atau mendapatkan khidmat urut dan refleksologi di spa dapat melegakan atau menyembuhkan penyakit yang kita hidapi.

Friday, 29 March 2013

5S ditempat kerja [29.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Bagi yang bekerja dalam sektor kerajaan, istilah 5S bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Malah ada  sesetengah syarikat swasta juga mengamalkan konsep 5S ini. Hari ini saya dan rakan sepejabat sama-sama bergotong-royong untuk melaksanakan 5S ini kerana audit bagi 5S akan diadakan di pejabat kami pada 2 April 2013 ini.

Apa itu 5S?
5S merupakan rujukan kepada satu konsep pengurusan di dalam bahasa Jepun yang membawa maksud:

1. Seiri / Sisih
Menyisih dan membuang barang yang tidak perlu di tempat kerja

2. Seiton / Susun
Menyusun dan menyimpan barang dengan kemas, mudah diambil dan disimpan

3. Seiso / Sapu
Mencuci tempat kerja dengan rapi supaya tiada habuk di lantai, mesin dan peralatan

4. Seiketsu / Seragam
Seragamkan atau memelihara kebersihan dan penyusunan sepanjang masa serta mudah mengamalkan Seiri-Seiton-Seiso

5. Shitsuke / Sentiasa Amal
Berdisiplin dan melatih pekerja mematuhi peraturan dan bertabiat baik di tempat kerja

Sebenarnya konsep 5S ini boleh diamalkan dan diguna pakai dimana-mana sahaja: rumah, pejabat, kedai, klinik, farmasi, dan sebagainya. Tak kira apa jua jenis perniagaan yang kita jalankan, konsep 5S ini tetap sesuai untuk kita amalkan. Dengan adanya amalan 5S ini, perniagaan kita akan lebih terurus, sekaligus menarik pelanggan untuk berada di dalam premis perniagaan kita dengan selesa kerana keadaannya yang bersih, kemas dan teratur. Lebih-lebih lagi kalau kita menjalankan perniagaan kesihatan dan kecantikan. Tempat yang cantik, kemas, bersih, serta selesa pastinya mengundang rezeki yang luas kepada perniagaan kita. Sihat dan cantik mestilah sinonim dengan bersih dan kemas, kan? Kalau comot, tak bersih dan bersepah-sepah, macam mana kita nak sihat dan cantik!

5S di meja kerja saya masih belum selesai hari ini. Nampaknya kerja-kerja 5S saya perlu disambung lagi pada hari Isnin sebelum pihak audit datang menilai.

Wednesday, 27 March 2013

Perkhidmatan Pelanggan [27.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Hari ini saya bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan bagi membantu pegawai di kaunter Call Centre menjawab panggilan-panggilan yang berkaitan dengan BLESS. Selama ini memang mereka yang menjawab semua panggilan berkaitan BLESS, tetapi oleh sebab aktiviti promosi yang dibuat oleh pihak Jabatan Perumahan Negara baru-baru ini, panggilan bantuan ke Call Centre kami menjadi luar biasa banyaknya menyebabkan pegawai di kaunter Call Centre tidak menang tangan untuk melayan semua panggilan yang masuk.
Sebelum berkhidmat di tempat sekarang, saya pernah ada pengalaman berkhidmat sebagai wakil khidmat pelanggan bagi salah sebuah syarikat telekomunikasi di Malaysia. Jadi, tugas ini bukanlah sesuatu yang sukar atau membosankan untuk saya. Malah ada pemanggil yang memuji sikap dan bantuan yang saya berikan kepada mereka. Alhamdulillah...


Bagi saya, perkhidmatan pelanggan yang baik adalah amat penting bagi semua jenis perniagaan. Tidak kira apa juga jenis perniagaan yang kita jalankan, kita mesti memberikan khidmat pelanggan yang terbaik kepada pelanggan kita, terutamanya servis selepas jualan. Pelanggan pastinya akan gembira berurus niaga dengan kita jika kita dapat memberikan khidmat pelanggan yang baik kepada pelanggan kita. Pastinya pelanggan kita akan kembali berurus niaga dengan kita pada masa hadapan, dan besar kemungkinan juga mereka akan mengesyorkan rakan-rakan dan keluarga mereka untuk berurus niaga dengan kita. Itulah yang kita mahu, kan? Bisnes yang semakin berkembang dan maju, serta pelanggan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pelanggan sedia ada pula kekal setia dengan kita, tidak beralih arah ke pesaing yang lain.

Sebagai seorang peniaga, selain mempunyai kemahiran yang khusus dalam bidang kita, kita juga perlu ada kemahiran berinteraksi yang baik dengan para pelanggan. Pekerja kita juga perlu ada kemahiran yang sama. Kalau cuma kita sahaja sebagai pemilik perniagaan yang menjaga hubungan baik dengan pelanggan tetapi pekerja kita pula berkasar atau bersikap kurang mesra dengan pelanggan, pasti pelanggan akan lari! Oleh itu, kita sebagai majikan perlu mendidik dan melatih pekerja kita untuk melayan semua pelanggan dengan baik, tak kira bangsa, usia, warna kulit, keturunan, mahupun pangkat. Kita juga mesti memantau mereka dari belakang. Manalah tahu kan, di hadapan kita mereka melayan pelanggan dengan baik dan mesra, bak pijak semut pun tak mati, tapi apabila di belakang kita, aduhai... macam singa nak terkam mangsa! 

Semoga tips ini dapat membantu para pembaca sekalian dalam memastikan khidmat pelanggan kita sentiasa tip-top! :)