Thursday 28 March 2013

Pengaturcaraan komputer [28.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid

Sudah beberapa bulan saya tidak membuat pengaturcaraan komputer, menyiapkan sistem yang telah diamanahkan oleh ketua saya pada awal perkhidmatan saya dahulu. Sistem tersebut sudahpun diguna pakai sejak tahun lepas, tetapi masih ada beberapa modul yang masih perlu dibangunkan serta membuat beberapa penambahbaikan ke atas sistem.

Tidak dinafikan, membuat pengaturcaraan adalah minat saya sejak di universiti lagi. Saya ingat lagi semasa di UNIMAS, saya sanggup tidak tidur semalaman, berjaga hingga ke pagi semata-mata kerana teruja untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Tetapi sekarang saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan masa bagi membangunkan sistem itu kerana terdapat tugas-tugas lain yang lebih utama. Ketua saya juga pernah berpesan, sistem itu hanya perlu dibuat jika saya ada masa yang lapang, dan kerja-kerja utama saya telah siap dibuat.

Hari ini, keterujaan saya kembali memuncak apabila rakan sejawatan meminta bantuan saya untuk mengajarnya cara membuat pengaturcaraan komputer bagi menyiapkan tugasan akhir tahun adik beliau. Pada mulanya saya agak terkial-kial juga untuk memahamkan teknik pengaturcaraan yang dibuat oleh adik beliau. Maklum sajalah, setiap pengaturcara ada teknik mereka tersendiri untuk membuat pengaturcaraan. Tetapi dengan sedikit modifikasi terhadap koding yang telah dibuat, saya berjaya juga membetulkan beberapa ralat yang dijumpai.

Semoga adik teman saya ini berjaya mendapat markah yang baik bagi projek tahun akhir beliau. Saya hanya membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi, tetapi hasil utama sistem itu masih lagi hasil usaha beliau.

Alhamdulillah, syukur. Hari ini saya pulang dengan hati yang ceria walaupun sedikit letih kerana berpuasa, sebab saya dah buat apa yang saya sangat minati.

No comments:

Post a Comment