Wednesday 27 March 2013

Perkhidmatan Pelanggan [27.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Hari ini saya bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan bagi membantu pegawai di kaunter Call Centre menjawab panggilan-panggilan yang berkaitan dengan BLESS. Selama ini memang mereka yang menjawab semua panggilan berkaitan BLESS, tetapi oleh sebab aktiviti promosi yang dibuat oleh pihak Jabatan Perumahan Negara baru-baru ini, panggilan bantuan ke Call Centre kami menjadi luar biasa banyaknya menyebabkan pegawai di kaunter Call Centre tidak menang tangan untuk melayan semua panggilan yang masuk.
Sebelum berkhidmat di tempat sekarang, saya pernah ada pengalaman berkhidmat sebagai wakil khidmat pelanggan bagi salah sebuah syarikat telekomunikasi di Malaysia. Jadi, tugas ini bukanlah sesuatu yang sukar atau membosankan untuk saya. Malah ada pemanggil yang memuji sikap dan bantuan yang saya berikan kepada mereka. Alhamdulillah...


Bagi saya, perkhidmatan pelanggan yang baik adalah amat penting bagi semua jenis perniagaan. Tidak kira apa juga jenis perniagaan yang kita jalankan, kita mesti memberikan khidmat pelanggan yang terbaik kepada pelanggan kita, terutamanya servis selepas jualan. Pelanggan pastinya akan gembira berurus niaga dengan kita jika kita dapat memberikan khidmat pelanggan yang baik kepada pelanggan kita. Pastinya pelanggan kita akan kembali berurus niaga dengan kita pada masa hadapan, dan besar kemungkinan juga mereka akan mengesyorkan rakan-rakan dan keluarga mereka untuk berurus niaga dengan kita. Itulah yang kita mahu, kan? Bisnes yang semakin berkembang dan maju, serta pelanggan yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pelanggan sedia ada pula kekal setia dengan kita, tidak beralih arah ke pesaing yang lain.

Sebagai seorang peniaga, selain mempunyai kemahiran yang khusus dalam bidang kita, kita juga perlu ada kemahiran berinteraksi yang baik dengan para pelanggan. Pekerja kita juga perlu ada kemahiran yang sama. Kalau cuma kita sahaja sebagai pemilik perniagaan yang menjaga hubungan baik dengan pelanggan tetapi pekerja kita pula berkasar atau bersikap kurang mesra dengan pelanggan, pasti pelanggan akan lari! Oleh itu, kita sebagai majikan perlu mendidik dan melatih pekerja kita untuk melayan semua pelanggan dengan baik, tak kira bangsa, usia, warna kulit, keturunan, mahupun pangkat. Kita juga mesti memantau mereka dari belakang. Manalah tahu kan, di hadapan kita mereka melayan pelanggan dengan baik dan mesra, bak pijak semut pun tak mati, tapi apabila di belakang kita, aduhai... macam singa nak terkam mangsa! 

Semoga tips ini dapat membantu para pembaca sekalian dalam memastikan khidmat pelanggan kita sentiasa tip-top! :)



No comments:

Post a Comment