Friday 15 March 2013

Catatan 15.03.2013

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Hari ini sedikit berbeza daripada hari-hari sebelumnya. Ini adalah kerana anak sulung saya yang berusia 7 tahun demam dan cirit-birit. Jadi beliau tidak saya kejutkan seperti biasa untuk ke sekolah.



Selepas bersiap dan menyiapkan anak-anak, saya memaklumkan kepada ketua seksyen bahawa saya akan masuk ke pejabat sedikit lewat daripada biasa kerana perlu membawa anak sulung ke klinik terlebih dahulu bagi mendapatkan rawatan. Daripada klinik, saya dan suami terus ke sekolah anak bagi memaklumkan dan menghantar surat cuti sakit anak ke bahagian pentadbiran sekolah. Setelah itu kami terus ke pejabat, dan saya membawa puteri sulung kami itu duduk bersama-sama saya di pejabat.



Dua kali muntah dan dua kali buang air sepanjang beliau bersama saya di pejabat di sebelah pagi. Mujurlah beliau masih aktif seperti biasa walaupun demam dan cirit-birit akibat keracunan makanan. Alhamdulillah... Mujur juga hari ini adalah hari Jumaat, maka waktu rehat tengahari adalah panjang sedikit berbanding hari biasa. Pada waktu rehat tengahari itu saya mengambil peluang untuk ke ibu pejabat Shaklee bagi membeli sedikit stok produk, dan kembali semula ke pejabat tepat pada masa bermulanya waktu bekerja sebelah petang.



Urusan pejabat saya teruskan seperti biasa, sambil menjaga sang puteri yang semakin pulih. Rutin biasa selepas habis waktu pejabat, kami akan mengambil anak-anak daripada taska, dan kembali semula ke rumah untuk berehat sambil menguruskan rumah dan melayan kerenah anak-anak.



Syukur alhamdulillah, rutin kehidupan saya kembali normal apabila puteri yang dikasihi telah kembali sihat. Teringat kembali kata-kata guru saya, setiap dugaan dan ujian yang Allah turunkan kepada kita adalah sebagai peringatan-Nya. Mungkin saya dan suami ada lalai dalam melaksanakan perintah-Nya, atau kami kurang bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang Dia kurniakan, maka Dia menarik sedikit rezeki dan nikmat kesihatan dan kesenangan yang kami ada melalui penyakit yang diberikan kepada anak kami. Sesungguhnya Allah maha pengasih lagi maha penyayang... Dengan dugaan ini jugalah sang puteri yang sering rasa terabai dan diketepikan kerana saya sering mengutamakan keperluan adiknya yang berusia 8 bulan, dapat bermanja-manja dengan saya sepanjang beliau bersama saya di pejabat.

Benarlah juga kata orang, psikologi anak mempengaruhi kesihatannya juga. Jika anak yang sihat tetapi sering mengalami masalah gangguan emosi, anak itu akan kerap menunjukkan simptom sakit dan tidak sihat. Tetapi apabila anak-anak yang kurang sihat ini dijaga dengan penuh kasih sayang, dia berasa gembira, dan emosinya terjaga, beliau akan mengalami kesembuhan dengan kadar yang cepat. Tetapi kita masih perlu berusaha untuk memberikan rawatan kepada mereka, sama ada rawatan secara moden, tradisional mahupun semulajadi, di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah untuk menyembuhkan segala penyakit mereka.

No comments:

Post a Comment