Monday 18 March 2013

Kemalangan [18.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @ Wahid


Sumber: Carian Google
Ya, saya mengalami kemalangan pada hari Isnin, 18 Mac 2013 yang lalu sewaktu hendak masuk ke pejabat pada waktu petang selepas selesai menghantar anak sulung ke kelas KAFAnya. Puncanya, saya terlelap semasa memandu. Walaupun kemalangan yang berlaku tidak seteruk gambar di atas, saya tetap merasa cemas dan menggigil kerana telah melanggar kereta orang. Perkara pertama yang terlintas di fikiran, "Mesti orang ni nak marah, maki hamun aku sebab aku dah langgar kereta dia." Kedua, bagaimana saya hendak beritahu suami yang saya telah mengalami kemalangan. Pasti suami saya akan melenting marah kerana ini adalah kali kedua saya kemalangan kereta dalam tempoh dua bulan berturut-turut disebabkan kecuaian saya sendiri. Dan ketiga, di mana saya hendak mencari duit untuk memperbaiki kedua-dua kereta suami dan juga kereta orang yang saya langgar itu.

Tetapi alhamdulillah, Allah tetap bersama saya. Kedua-dua kereta kami tidak mengalami kerosakan yang serius. Tuan pemilik kereta tersebut juga bukanlah seorang yang pemarah atau pembengis, malah beliau memberikan kerjasama yang sangat baik untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Setelah kembali semula ke pejabat, saya terus berjumpa dengan suami dan memberitahunya bahawa saya kemalangan. Beliau sedikit terkejut, tetapi tidak melenting sepertimana yang saya fikirkan sejurus selepas kemalangan tersebut berlaku. Walaupun begitu, emosi saya terus menjadi tidak menentu. Saya hilang fokus kepada tugas di pejabat.

Mujur ada teman yang boleh saya berkongsi cerita. Beliaulah yang memberikan semangat dan menenangkan saya. Katanya, saya perlu mendapatkan rehat yang secukupnya supaya kemalangan seperti ini tidak berulang lagi. Ya saya akui, saya memang kurang rehat semenjak beberapa hari sebelum berlakunya kemalangan. Anak-anak bersilih ganti demam. Ditambah pula dengan otak yang sentiasa memikirkan tugas di pejabat yang semakin banyak tertunggak.

Semoga kemalangan seperti ini tidak akan berulang lagi di dalam kehidupan saya sama ada ke atas diri saya sendiri mahupun ke atas insan-insan yang amat saya sayangi. Pembaca sekalian juga harus menjaga kesihatan masing-masih serta berhati-hati semasa memandu agar kemalangan akibat kecuaian seperti ini dapat dielakkan. Jagalah kesihatan dan emosi kita, kerana keadaan emosi yang tidak stabil sememangnya memberikan impak yang besar kepada kehidupan seharian kita.

No comments:

Post a Comment