Saturday 16 March 2013

Santai di hujung minggu [16.03.2013]

Teks: Nurulhuda Ismail @Wahid

Hari ini hari Sabtu, saya dan keluarga hanya duduk berehat-rehat dirumah pada sebelah pagi, melayan kerenah anak-anak sambil menonton televisyen dan membuat kerja-kerja rumah yang ringan-ringan. Kalau semalam puteri sulung demam dan cirit-birit, hari ini puteri bongsu pula menunjukkan tanda-tanda seperti mahu demam.

Tetapi oleh kerana telah berjanji dengan sepupu untuk datang kerumahnya pada sebelah petang, kami bersiap-siap juga dan terus ke rumahnya. Seronok rasanya dapat berjumpa sepupu-sepupu kesayangan serta makcik dan pakcik yang baru pulang daripada menunaikan umrah, juga dengan kehadiran kakak tersayang bersama abang ipar dan anak-anaknya.

Bermacam-macam pengalaman yang diceritakan oleh pakcik dan makcik kami sewaktu berada di tanah suci Mekah. Walaupun ini bukanlah kali pertama mereka ke sana, tetapi setiap kali ke sana pasti mereka akan merasai pengalaman yang berbeza. Saya sangat teruja mendengar cerita mereka. In shaa Allah mudah-mudahan saya juga diberi peluang oleh Allah untuk menjadi tetamu-Nya, sepertimana yang saya impikan, untuk membawa mama tersayang untuk menunaikan umrah setiap tahun.

Usai menunaikan solat maghrib, kami sekeluarga memohon diri untuk pulang, kerana kami perlu ke pusat membeli-belah bagi membeli beberapa barang keperluan terutamanya baju berwarna ungu yang perlu dipakai pada hari esok sempena "1 million women purple walk" yang wajib saya hadiri. Makcik tidak lepas untuk memberikan beberapa buah tangan yang dibelinya semasa berada di tanah suci, antaranya: buah tin, kurma, air zam zam, mintak wangi, inai Mekah, dan juga tasbih digital yang saya cari-cari selama ini! Alhamdulillah... Syukur sangat apabila menerima pemberian daripadanya. Saya doakan semoga pakcik dan makcik saya sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah.

Destinasi seterusnya adalah Jusco. Walaubagaimanapun, pencarian barangan terpaksa dihentikan setelah putera kedua tidur di dalam dukungan suami, dan puteri bongsu muntah di dalam dukungan saya. Kami terus pulang ke rumah untuk membersihkan diri. Nampak gayanya saya tidak dapat sertai acara jalan kaki sejuta wanita esok kerana anak tidak sihat. Dugaan lagi buat saya. Tidak mengapalah, keluarga dan anak-anak lebih penting buat saya berbanding acara itu. Mudah-mudahan anak-anak saya kembali sihat dan ceria seperti selalu pada hari esok! In shaa Allah....

No comments:

Post a Comment